Tuesday, January 27, 2004

BELIDA KUA YANG
Oleh ROSELAN AB MALEK

Send to a friend | Printable Page

BELIDA (Notopterus chitala) atau dikenali juga Featherback mendiami sungai, bekas lombong dan paya. Ia mempunyai mulut kecil, bentuk badan yang membesar dari sirip atas hingga ke bawah perut dan menirus hingga ke hujung ekor. Belida berbadan leper dan banyak tulang yang halus.

Terdapat pelbagai jenis belida. Ada belida berwarna putih, kelabu dan ada juga yang berwarna hitam dan terdapat tompok-tompok pada badannya. Ikan belida memakan cacing dan udang sungai. Belida ialah ikan yang nipis, jika dilihat dari pandangan atas dan mempunyai bahagian belakangnya yang cembung. Sirip di bahagian bawahnya bersambung dengan sirip ekor sehingga ia membentuk ekor.

Memburu belida bukanlah mudah kerana ia memerlukan kesabaran apatah lagi umpan yang diperlukan ialah udang paya hidup. Bagi Mohd Nizam Mustafa dari Rumpun Makmur, Kuala Krau, Temerloh, Pahang memancing belida adalah kegemarannya. "Biasanya saya akan memancing di Lubuk Kua Yang dekat Kuala Krau yang mempunyai pelbagai spesies ikan.

"Saya menggunakan udang paya hidup jika ingin menewaskan belida kerana umpan itu adalah kegemarannya walaupun kadang-kadang ikan lain yang meragutnya terlebih dulu," katanya. Beliau berkata, ikan belida agak kuat melawan dan pertarungan sebegini memberi kepuasan kepada pemancing. Katanya, beliau biasanya memancing pada awal pagi, iaitu seawal jam 8 pagi kerana waktu itu masih belum panas dan seseorang pemancing masih segar dan bertenaga.

"Hari itu saya terpaksa menunggu hampir dua jam barulah umpan saya dijamah dan kemudian dapat menewaskan seekor belida seberat 5 kilogram.

"Pertarungan dengan belida itu mengambil masa setengah jam dan inilah antara spesies belida terbesar yang berjaya saya tangkap sepanjang tahun ini," katanya.

No comments: